Wednesday 23 January 2013

ULTRAS MALAYA KE GELORA BUNG KARNO (BAHAGIAN KETIGA, AKHIR)

BAHAGIAN KETIGA- TERAKHIR 
Kami minta maaf anda terpaksa tunggu lama untuk bahagian ketiga ini. Sangat sibuk dengan urusan harian. Ini adalah bahagian yang terakhir, menceritakan details saat-saat pengalaman kami masuk ke GBK, terperangkap dan pulang ke tanah air dan boleh lihat video khas kami di bawah ini.




Akhirnya, tiket final telah berjaya kami dapatkan! Rasa girang di hati tidak dapat digambarkan. Jam menunjukkan pukul 3.00pm, kawasan sekitar Hotel Sultan mula dipenuhi orang ramai seawal jam 8 pagi. Kelibat beberapa pemain kebangsaan juga kelihatan, mereka mundar mandir ke hulur ke hilir. Kelihatan sedikit resah di wajah mereka, tapi yang pasti wajah Kapten kita, Badrol Bakhtiar paling selamba, ceria dan Bad juga sering menegur dan melambai kami selama kami berada di Indonesia. Bad memang peramah habis! tidaklah macam seorang pemain yang kononya hebat tu yang memang sombong dari pandangan kami, tidak mahu mention di sini penyerang yang tak perform di pasukan negeri tapi sentiasa mendapat tempat di kesebelasan utama baik skuad Rajagobal mahupun skuad Ong Kim Swee, anda fikirkanlah sendiri siapakah gerangannya. Waktu masih awal lagi untuk pergi ke GBK, kalau mahu nonton perlawanan penentuan gangsa acara bola sepak juga masih belum bermula. Tapi jelas kelihatan dari Hotel Sultan kami boleh melihat GBK padat dipenuhi lautan merah sana sini. 

Aku mengambil kesempatan bergambar bersama 
pemain sebelum perlawanan akhir
Pemain berangkat menaiki bas
Aku cuba melayari internet mengunakan mobile handphoneku, cuba update status di Facebook mahupun di twitter ternyata tak boleh diakses. Rupanya talian 3G internet telah disekat secara berperingkat. Sempat aku berborak dengan salah seorang petugas Sukan Sea Indonesia, beliau memberitahu segala bentuk komunikasi seperti handphone, Internet 3G akan disekat pengunaanya di sekitar GBK dan kawasan berdekatan dua jam sebelum dan selepas perlawanan. Perkhidmatan BBM pun tak lepas. Kalau di dalam GBK langsung tak boleh akses termasuk membuat panggilan telefon, atas faktor keselamatan katanya. Selepas beberapa insiden pengeboman di Indonesia beberapa tahun lalu pihak berkuasa tempatan mengambil langkah drastik dalam membendung daripada kejadian yang sama berulang lagi. Lagi pun di jangkakan Presiden Indonesia SBY akan turun juga. Patutlah dari pagi tadi aku lihat pelbagai agensi keselamatan Polis, tentera dan pengawal keselamatan berhimpuan di perkarangan GBK, siap datang dengan skuad “Penembak Tepat”.



Disebabkan gagal untuk melayari Internet, kami semua melepak di cafe hotel untuk mengunakan perkhimatanWi-fi ternyata masih boleh dilayari. Dapat sahaja akses, aku dapat mesej “Whatsapp” daripada nombor yang tidak dikenali menyuruh kami semua segera ke bilik mesyuarat untuk taklimat khas sebelum keberangkatan ke GBK. Tanpa berfikir panjang terus kami ke bilik mesyuarat, rupanya mesej tadi dari sahabat lama ultras, saudara Azri, beliau sekarang bekerja dengan Team Malaysia kerjanya lebih kurang macam mengemas kini info di laman sesawang, facebook dan twitter Team Malaysia. Beliau juga merupakan antara pelopor awal Ultras Malaya semasa kami semua masih lagi aktif berforum di laman sesawang harimaumalaya.com. Azri pelawa kami untuk mengikuti sekali konvoi bas pemain ke GBK. Tanpa berfikir panjang kami terus bersetuju, bila lagi nak dapat peluang menaiki bas dan mengikuti konvoi bersama pemain bukan?



Kami melangkah masuk ke dalam bilik mesyuarat, kelihatan ramai orang di situ dan kebanyakannya berpakaian jersi Team Malaysia dan juga jersey Nike Harimau Malaya. Dalam hatiku, “sah ni memang budak-budak Famemas ni” dan ternyata benar telahanku. Mesyuarat itu sendiri diketuai oleh Chef de Mission Malaysia di Jakarta, Datuk Naim Mohamed. Datuk Naim sendiri mengenali Ultras Malaya dan mempelawa kami menyertai mereka. Taklimat selama hampir sejam lebih diberikan. Para pegawai Malaysia dan AJK Team Malaysia sibuk berbincang bagaimanakah mahu meyeludup mereka yang masih tidak punyai tiket untuk masuk ke kawasan yang lebih selamat iaitu kawasan grandstand kerana di situ pengawasan pihak Polis dan keselamatan lebih terjamin berbanding tiket kategori 1 dan kategori 2. Rupa-rupanya selama Sukan Sea ini berlangsung, mereka sudah arif dalam bab menyeludup masuk penyokong-penyokong Malaysia ke kawasan yang lebih selamat walaupun berlainan tiket. Mereka terpaksa berbuat demikian kerana atas faktor keselamatan, kata mereka jikalau setiap acara sukan yang melibatkan pertembungan Malaysia dengan Indonesia, keadaan akan menjadi begitu tegang sekali. 



Akhirnya diputuskan dengan sistem undian, hanya 50 orang sahaja dibenarkan pergi ke GBK manakala selebihnya pergi menonton di Kedutaan Malaysia. Kami tidak terbabit dengan undian mereka, kerana ada tiket walaupun tiket kami kategori 1, kami rancang hanya ingin menumpang konvoi bas ke stadium setibanya kelak barulah kami akan ke bahagian tempat kami, kami tawakkal dan buat hati kering. Undian telah dibuat, selebihnya yang gagal untuk mendapatkan tiket terus ke kedutaan besar Malaysia atas faktor keselamatan mereka. Terlalu bahaya untuk membiarkan mereka yang lain untuk duduk di kawasan kategori 1 dan 2, ibarat seperti jalan pintas menempah maut jikalau penyokong-penyokong Malaysia duduk berasingan dan berjauhan. Kami bersama-sama beberapa pelajar Malaysia yang mempunyai tiket biasa juga, nekad mengikuti konvoi ke GBK walaupun tidak disarankan sendiri oleh CDM kita. 



Setelah tamat sesi “Taklimat Perang” di bilik mesyuarat kami semua berangkat ke kawasan lobby untuk menaiki bas. Kenapa aku katakan “Taklimat Perang”? Sebab macam-macam perkara dibincangkan dari nak seludup oranglah, nak elak dari bertembung penyokonglah, elak dari provokasilah, langkah-langkah berjaga bagaimana mahu keluar balik andai malaysia telah menang dan sebagainya. Tepat pukul 5pm kami semua naik bas, pemain-pemain kebangsaan juga kelihatan. Selepas itu kesemua 66 orang (aku tak pasti jumlah sebenar mereka di dalam bas) berada di dalam bas dan baki penyokong Malaysia yang lain ke Kedutaan Besar Malaysia. Kami semua berhimpit dan berdiri di dalam bas dan kemudian barulah konvoi pemain dan penyokong bertolak. Konvoi disertai 2 buah bas sahaja dengan bas pemain di depan manakala bas penyokong di belakang. Jarak sebenar GBK dengan Hotel Sultan hanyalah 500 meter, konvoi bas perlu melalui laluan alternatif sejauh 2KM kerana laluan lain terhalang oleh ratusan ribu penyokong Indonesia yang sedia menanti di perkarangan stadium. Menurut sukarelawan Sukan Sea, ratusan ribu datang dari seluruh pulau di Indonesia walaupun mereka tidak mempunyai tiket untuk memasuki stadium. Beberapa minit kemudian, bas kami disedari oleh penyokong-penyokong Indonesia dan mereka mula menjerit dan menghamburkan kata-kata kesat serta insyarat jari lucah. Tidak semua berperangai sebegitu, tetapi boleh dikatan majoriti di situ berperangai sedemikian.


Boleh lihat dari keadaan terang sudah menjadi gelap
gara-gara lama sangat tersekat oleh penyokong mereka

Bas kami mula memasuki perkarangan stadium GBK, tetapi malangnya pergerakkan bas terhalang di situ walaupun GBK hanyalah 100 meter dari bas. Orang ramai mula mengerumi bas kami, mengetuk, menendang, mengejek, menjerit, membaling segala jenis benda ke arah bas kami. Ada yang mempamerkan poster berbunyi “Batik milik Gwe”“Malaysia Go To Hell”, “Kita bunuh Upin Ipin”“Malaysia Maling No 1 Asia” “Ganyang Malaysia sampe mati” “Hantar pulang mereka ke NERAKA” dan banyak lagi. Adakalanya poster-poster yang mereka bawa mesejnya hampir membuatkan isi perut aku terburai, mana tidaknya isu-isu yang dimainkan media massa mereka sememangnya tidak masuk akal dan tidak menjadi isu buat rakyat Malaysia dan kami pelik bagaimana mereka mendapat isu sebegitu walhal rakyat Malaysia tidak ambil peduli hal-hal sedemikian.


Kiri dan kanan bas kami dikepung mereka

Kami diberitahu, di dalam stadium sudah mula dipenuhi sekitar 80 000 penyokong manakala di luar ini 200 000 penyokong yang gagal untuk memiliki tiket tetapi masih ingin cuba memasuki dalam stadium atau berkumpul di luar perkarangan untuk melihat melalui big screen. 66 orang dikalangan kami mula panik dan berubah wajah, ada yang mula pucat, ada yang menangis, ada yang mula berdoa dan ada juga mahu membuka jersi Malaysia serta ada yang mahu keluar dari bas seperti orang biasa. Bagi kami, sebenarnya inilah saat yang kami mahukan, kami sendiri mahu rasakan situasi bagaimana pemain-pemain kita harungi sebelum ini berdepan dengan penyokong FANATIK GARUDA MERAH. Kami benar-benar dapat rasakan perasaan mereka dan pengalaman mereka secara real live. Aku dan rakan-rakan sempat merakam gambar dan video gelagat mereka ini, tetapi keadaan menjadi sebaliknya apabila beberapa pemuda yang berang kami mengambil video dan gambar mereka lantas menendang bas berkali-kali dan menunjukkan isyarat maut kepada kami. Pemuda-pemuda tersebut mengarahkan kami, penumpang di kerusi belakang supaya turun dengan segera dengan menunjukkan isyarat “Pisau mengelar leher”. Malah lebih teruk lagi, ramai penyokong mereka yang tersepit dan terhimpit sertai terpijak sesama mereka gara-gara tidak mahu berganjak dari tempat mereka berdiri. Kami sendiri menyaksikan, ada yang terpaksa diusung keluar dari kawasan padat tersebut dan ini juga yang menambahkan lagi kemarahan mereka. Tambah memburukan keadaan apabila ambulan gagal untuk memberikan bantuan ekoran keadaan yang sangat padat di situ.


Apabila keadaan semakin tegang pihak polis dan tentera mengarahkan bas kami supaya menutup tirai dan tiada lagi sebarang rakaman dibenarkan untuk mengelakkan perkara yang lebih buruk. Polis di Indonesia seakan-akan tidak berdaya untuk menahan asakan penyokong fanatik ini, mereka hanya menglaungkan amaran dan larangan sahaja tanpa bertindak lebih keras. Aku terbayang situasi di Malaysia seperti ini, andai ada penyokong-penyokong berdegil macam ni sudah lama kena pijak dengan kasut but FRU dan juga Polis. Ternyata Polis Malaysia lagi brutal dan ganas! Ultras Malaya sendiri mempunyai banyak pengalaman berdepan dengan situasi tegang apabila berhadapan dengan pihak polis. Di tahan Polis, di siasat malah ditahan lokap sudah menjadi perkara biasa buat komrad UM, ada beberapa dikalangan kami sudah dibicarakan di Mahkamah atas kesalahan membakar flare. Budak-budak The Jang lagi lah, mereka lagi kerap, pernah mereka diarahkan membuka baju hanya memakai seluar di stadium sahaja gara-gara memakai T-Shirt“Presiden FAM Sila Letak Jawatan”.


Pelajar-pelajar Malaysia yang mempunyai tiket kategori 1 sama seperti kami, mula bertanya kepada aku,“Bang, macam mane nak pergi gate tiket kategori kita bang? Bas pun takleh lalu mati kita bang kalau pergi situ dengan pakai baju Malaysia ni”. Aku juga tidak punyai jawapan untuk itu dan katakan padanya. “Entahlah, selamba redah je dik, tawakkal je”. Bagi penyokong yang lain, kedudukan mereka agak selamat kerana mempunyai tiket VIP dan Grandstand yang pastinya kurang diancam oleh penyokong lawan. Tiba-tiba persoalan pelajar tersebut mebangkitkan perasaan cuak aku dan rakan-rakan lain, daripada tadi kami semua gembira sebab sendiri merasakan pengalaman diasak oleh penyokong yang bersifat SUPER ULTRA!Sekarang lain pula perasaan kami. Agak jauh jugalah kalau nak pusing ke tempat kategori 1 di sebelah hujung stadium andai konvoi bas ini menurunkan kami di sini, kami perlu menempuh ratusan ribu penyokong Indonesia pula. Aku mula terbayang insiden yang aku lihat sebentar tadi di channel ANTV, siaran tv swasta di Indonesia sebelum kami berangkat ke Hotel Sultan. Satu rombongan bas dari Bandung yang kesemuanya berbaju Merah Putih ke Jakarta telah ditahan oleh penyokong yang lain saat mula memasuki sempadan Jakarta. Oleh kerana nombor plat nya dari Bandung bas mereka telah dibakar oleh sekumpulan penyokong yang lain di Jakarta walhal mereka sama-sama mendukung pasukan Garuda, pelik bukan? Aku tak pasti siapa yang bakar, mungkin juga perkelahian di antara budak-budak Jakmania dan Viking agaknya kerana Viking sememangnya berasal dari Bandung. 


Setelah berjam-jam lamanya konvoi kami tersekat, pergerakkan bas hanya mampu bergerak sedikit demi sedikit. Apatah lagi ada dikalangan mereka mula melontar batu ke arah konvoi bas kami, mana tahu kalau keluar sahaja dari pintu bas kang tak pasal-pasal ada yang bocor kepala dek lontaran “Jamrah” merejam syaitan ala ala menunaikan Fardhu Haji di GBK. Jangan terkejut kebanyakkan dari mereka menganggap sukan bola sepak atau pun pasukan kesayangan mereka adalah agama kedua mereka. Mereka hidup demi bola sepak dan pasukan mereka malah ramai sanggup bergadai nyawa bertempur dengan penyokong lain demi menjaga kemurniaan Kota Suci (merujuk pada Stadium Keramat masing-masing) daripada dimasuki atau dijajahi oleh musuh ketat mereka (penyokong lawan). Perlawanan liga di Indonesia, kalau perseteruan yang dasyat dikalangan kedua-dua penyokong, memang penyokong away tidak akan bertandang ke kubu pihak lawan dan sebaliknya. Boleh lihat sendiri banner “Persik is a Religion” jelas terpampang yang digantung di Stadium GBK semasa perlawanan akhir. Persik merujuk pada pasukan Persik Kediri dari daerah Kediri di Indonesia. Bagi yang suka hisap rokok Keretek Gudang Garam atau dikenali sebagai rokok Suria anda pasti tahu bukan? Rokok ini berasal dari Daerah Kediri. Kami diberitahu oleh supporters Arema Malang, mereka memboikot dan tidak sama sekali membeli dan menghisap rokok buatan orang Kediri kerana begitu benci  pasukan kediri dan penyokong Kediri. 


Pihak berkuasa memberi isyarat bahawa bas kami tidak boleh berhenti di luar perkarangan stadium kerana keadaan sangat tegang dan bahaya lantas menyuruh konvoi kami masuk terus ke dalam stadium sekali dengan bas. Pintu gerbang dibuka, lalu bas kami mula memasuki kawasan tepi padang stadium. Gila! Gila! Gila! Ini pertama kali dalam sejarah hidup aku sebagai penyokong bola sepak, pertama kali naik bas sebagai penyokong away terus masuk ke dalam padang! Mungkinkah ini yang pertama kali di dunia juga bukan? Selepas pemain kita yang pertama kali di dunia menaiki kenderaan Barracudas? Malaysia BOLEH!! Hahaha. Konvoi bas kami menurunkan pemain dan juga penyokong di tepi padang. Pendek kata, Stadium GBK ini banyak kali mencipta rekod dunia dalam sejarah bola sepak dunia amnya. Rakyat Indonesia patut berbangga kerana mereka berjaya mencipta rekod yang tidak mampu dipecahkan oleh mana-mana penyokong dan negara lain.


Bas kami memasuki padang GBK


Curva Sud kelihatan dari bas kami

Aku sempat juga memijak padang bola GBK lantas dimarah petugas di sana yang menyuruh kami segera ke tempat duduk penyokong. Petugas sana mengarahkan supaya kami duduk secara berkumpulan kerana keadaan sangat berbahaya dan walaupun ramai di antara kami tidak mempunyai tiket bahagian grandstand tetapi di arahkan juga ke arah kawasan  tersebut. Lagipun setelah bas memasuki padang, tiket kami masih cantik kemas tidak berkoyak lagi. Boleh simpan buat kenangan lagi tu. Dari tepi padang kami semua berjalan kaki menuju ke arah grandstand tersebut. Satu stadium mula bersorak dan “boo” kami. Kami ingat dikawasan grandstand ni tidaklah padat, tetapi macam Tin Sardin juga, ada dikalangan kami yang terpaksa berdiri juga apatah lagi orang Indonesia lain yang lambat masuk ke kawasan tersebut.  Tidak bermakna kami duduk dikawasan ini kami selamat dari provokasi dan cacian dari penyokong tuan rumah kalau dah nama GBK mana-mana sahaja serupa malah seorang pelajar Malaysia basah kuyup dibaling beg plastic berisi air teh. Itu dikawasan grandstand, cuba anda bayangkan kalau kami duduk dikawasan terbuka? Bagaimanakah respon mereka terhadap penyokong Malaysia? Ikut hukum datang tempat orang kan terpaksa lah buat “Pekak Badak”tak kan lah nak melenting tak tentu pasal pula bukan? Tak pasal-pasal pula keranda jenazah dikirimkan kepada ibubapa kami pula kelak. Malah kami diletakkan dibawah pengawasan khas, iaitu pengawal khas yang berbadan besar dan sasa dinamakan “Naga Sakti”.


Pengawal Naga Sakti yang berbadan sasa

Dari tempat kami, jelas kelihatan Curva Sud dan Curva Nod di kiri dan kanan kami, mereka mula menyanyi walaupun perlawanan belum bermula. Curva Sud dan Curva Nod kepunyaan Jakmania yang datang untuk menyokong pasukan kebangsaan. Boleh dilihat juga beberapa curva besar lain di tingkat dua kepunyaan penyokong kelab lain seperti Persik Kendiri, Arema Malang dan lain-lain. Tidak seperti di Section 1Q curva Ultras Malaya yang hanya seramai 4-5 ribu sahaja tidak seramai mereka. Sang Dirigen (panggilan Capo di Indonesia) mereka mengetuai puluhan ribu penyokong mengikuti aksi choreo nya. Curva Sud dan Curva Nord seakan-akan berlumba-lumba dan bersaing di antara satu sama lain dengan cara mereka tersendiri. Inilah padahnya apabila kumpulan penyokong itu tidak dapat disatukan oleh satu entiti seperti mana berjaya dilakukan oleh Ultras Malaya walaupun ditunjangi oleh ribuan penyokong dari seluruh pelusuk negeri Malaysia. Walau pun mereka tidak bersatu dan bekerjasama dalam chanting mereka, tetapi “Aura Neraka” GBK tetapi gelora buat pemain dan juga penyokong lawan yang bertandang. Sukar dinyatakan di sini, hanya mereka yang pernah menjejak kaki di sini sahaja yang tahu aura sebenar GBK! 


Aku lupa nama pelajar Malaysia ni tapi dia
antara yang kena baling botol dan bekas air minuman

Pemain kedua-dua pasukan mula memasuki padang, aku bisikkan pada Lutfi temanku. “Lutfi, tak kira. Kali ini aku nak berdiri dan nyanyi sekuat hati sepenuh jiwa semasa lagu negara berkumandang” kataku padanya. Aku nekad, sebab sewaktu perlawanan separuh akhir tempoh hari, kami bertiga hanya berdiri dan berdiam diri tanpa membuka sepatah kata kerana yang lain tidak bangun langsung. Ini dah masuk pentas akhir, aku nak menyanyi juga. Saat lagu Negaraku dimainkan, aku dengan Lutfi pantas memijak kerusi dan berdiri sambil merentangkan kain mafla masing-masing dengan penuh kebanggaan walaupun kami dimarahi oleh pengawal kerana kawasan tersebut tidak boleh pijak kerusi sesuka hati macam kawasan lain. Puas! Sangat puas dapat menyanyikan lagu kebangsaan tanpa perlu berpura-pura macam perlawanan separuh akhir. Hanya rakyat Malaysia sahaja yang bangun, penyokong yang lain seperti biasa duduk sambil membuat bising tanda protest terhadap Malaysia. Kemudian, lagu “Indonesia Raya” didendangkan, gempik gempita seluruh stadium, dengan nyanyian padu 150, 000 penyokong di dalam stadium dibantu pula oleh 200 000 lagi di luar stadium saat ini aku betul-betul kagum dengan semangat mereka menyanyikan lagu kebangsaan dengan lantang sekali, di mana yang ini kita perlu contohi semangat mereka. 



Bagaikan jantungku terhenti saat mereka menjaringkan gol dahulu. GBK bagaikan seperti mahu runtuh dengan jeritan dan sorakan ibarat macam mereka dah pasti menang pingat emas dah. Provokasi semakin galak, nyanyian “Maling” “Maling” “Maling” yang dimulakan oleh sekumpulan penyokong disambut oleh seluruh penyokong di GBK. Jaringan penyamaan dinamakan teknik “Tandukan terbang dagu menyembah bumi” oleh Asraruddin Putra Omar berjaya menenggelamkan sorakan padu mereka. Aku ibarat seperti lupa diri di mana ku bersama Pejal dan lutfi melompat dan meluruh ke depan. Aksi kami mengundang padah, apabila pejal telah diserang dan dicekik lehernya oleh seorang penyokong nasib baik tindakan pantas pengawal Naga Sakti Berjaya mententeramkan keadaan. Penyokong tu sebenarnya adalah orang kenamaan. Beliau datang bersama 4 orang bodyguardnya. Pelik bukan? Walapun bertaraf golongan elite tapi masih bertindak sedemikian rupa. Lantas aku, Pejal dan Lutfi berundur dan menjauhkan diri sedikit dari mereka kerana khuatir akan diserang lagi. Aku malas nak ulas lanjut pasal game, kerana anda semua sudah sedia maklum bahawa kita telah berjaya menewaskan mereka di gelanggang keramat mereka atau kota suci bagi penganut Bola Sepak Indonesia! Semasa jaringan Badrol Bakhtiar aku berlari berpelukan bersama Izzaq Faris, Syahrul Azwari dan Wan Zaharulnizam yang berada di bangku penonton.


Black dengan bangganya mengibarkan bendera Malaysia
Inilah satu-satunya sukan yang dipertandingkan di Sukan Sea di Indonesia, Negaraku berkumandang di awal dan akhir acara! Hebat bukan? Tamat sahaja upacara pemberian pingat, penyokong Malaysia terpaksa menunggu dahulu sehingga keadaan stadium lengang. Selepas lengang barulah kami dibawah ke ke lokasi bawah tanah stadium mengunakan laluan khas ke tepat bas kami. Semasa hendak ke situ, kami telah diserang oleh sekumpulan kecil penyokong Indonesia yang menjerit “Mana Ultras Malai! Ultras Malai!” mungkin mereka merujuk kepada “Ultras Malaya” kot?. Mereka meluru dan menolak aku dan Lutfi sebab kami berdua terpisah agak jauh dengan group kami yang lain. Kami cuba melawan tapi kerana dikelingi ratusan penyokong mereka kami tidak boleh berbuat apa-apa. Mereka sempat sempat merampas bendera dan mafla dari seorang pelajar perempuan Malaysia, kami mula bertindak aggresif dan mereka mula melawan balik, mujur tindakkan pantas pengawal Naga Sakti sekali lagi   berjaya meredakan keadaan.


Kami dikurung di sini (ruangan khas bawah stadium)
selama 1 jam sehingga keadaan reda
Selepas keadaan reda di luar, barulah kami mula menaiki bas. Seperti cara kami masuk tadi, bas kami juga terpaksa masuk ke dalam untuk mengambil penyokong Malaysia. Kami masih lagi diarahkan untuk menutup tirai langsir , tutup lampu dan sesiapa yang memakai jersi dan baju Malaysia di arahkan untuk menanggalkan baju sementara sehinggalah bas berjaya keluar dari perkarangan stadium dengan selamat. Keadaan pulang seharusnya lebih parah, kerana pasukan mereka telah tewas, tetapi berlaku sebaliknya. Keadaan lebih terkawal berbanding petang tadi, kami diberitahu rupa-rupanya puluhan ribu yang lain pergi menunggu saat keluarnya pemain pasukan Harimau Malaya yang keluar mengunakan “Barracuda”. Kali ini kami pulang berasingan, bas kami di bahagian pintu selatan GBK manakala pemain dan pegawai Malaysia yang lain di pintu Utara. 


Aku dengan mafla Malaysia!
Pejal dengan mafla Ultras Malaya di GBK!
Kami selamat tiba di Hotel Sultan. Penyokong-penyokong lain telah mula pulang ke tempat penginapan masing-masing. Aku Lutfi, Pejal, Black dan geng ultras Malaya yang lain sabar menunggu ketibaan pemain Harimau Malaya untuk menyambut mereka. Ketika kami berkumpul di perkarangan Hotel Sultan, kawasan itu juga dipenuhi oleh para penyokong Indonesia yang lain. Mulanya kami memang tidak ambil peduli kerana yakin mereka ini bukan yang jenis aggresif sebab nampak muka macam budak-budak baik dan golongan elit Jakarta sahaja. Sebaik sahaja ketibaan pemain Malaysia dengan kenderaan istimewa mereka “Barracuda”kami mula menyanyikan lagu-lagu yang biasa kami nyanyikan di Curva 1Q Ultras Malaya. Seperti bait-bait lirik lagu kami “Tak Peduli Apa Orang Nak Kata” kami chant macam biasa kami buat di Malaysia tanpa menghiraukan keadaan sekeliling, mungkin gembira sangat sampai terlupa kami diperhatikan oleh sekumpulan penyokong fanatik Indonesia. Setelah pemain dan pegawai turun untuk bertemu dengan Sultan Ahmad yang juga berada di Jakarta. Kami berjalan kaki ke luar untuk menunggu teksi. Jam sudah menunjukkan pukul 1 pagi lebih sudah. Teksi di Hotel semuanya mengenakan bayaran 3 kali ganda, apatah lagi kami pelancong asing. Nak tak nak kenalah keluar dari hotel untuk perkhidmatan teksi yang lebih murah, lantaran itu kami terpaksalah berjalan kaki. Sedang elok sahaja kami berjalan kaki, tiba-tiba kami dikejar oleh puluhan penyokong Merah Putih, yang menjerit “Maling” “Itu dia supporters Maling” dari luar pintu masuk Hotel Sultan. Kami cuba melawan, si Pejal dan Black sempat baling batu dan botol ke arah mereka. Tapi selepas itu makin ramai pula yang mengejar kami. Kami hanyalah 5 orang lagi teman-teman lain sudah lama pulang ke Hotel, mereka berpuluh-puluh mungkin beratus-ratus lagi akan datang dari belakang, apa lagi pecut seribu langkah kami balik semula ke kawasan Hotel Sultan dengan sepantas yang boleh. Insiden itu nasib baik dilihat seorang supir (pemandu) teksi yang berehat berhampiran lokasi kejadian, lantas menjerit menyuruh kami menaiki teksinya. Kami berlari menaiki teksinya dan beliau terus memecutkan keluar ke jalan utama melalui pintu belakang. Berapa biji batu sempat mengenai cermin belakang teksinya dan terdapat sedikit keretakan. 



Salah kami juga, yang terlupa untuk menyalin pakaian jersi Malaysia dan menyimpan mafla sebab itu dikesan oleh mereka. Supir itu pusing jauh untuk hantar kami ke kawasan hotel kami kerana keadaan di Jakarta masing lagi padat dengan kebanjiran penyokong merah putih. Rupanya supir itu, pernah bekerja 15 tahun di Malaysia di kilang kayu. Dia kata dia suka Malaysia, dan dia tahu rakyat Malaysia sememangnya baik-baik belaka tidak seperti digambarkan di media massa Indonesia. Tambahnya lagi, keadaan di sini dikeruhkan oleh media massa yang sering kali mempermainkan sentimen kebencian demi kepentingan pemimpin politik untuk meraih sokongan di kalangan rakyat supaya mereka terus berkuasa. Apabila pemimpin itu, bercakap pasal sentimen nasionalisme yang merujuk pada isu yang dimainkan media massa mereka barulah rakyat suka dengan lagak mereka. 



Kami selamat pulang ke Hotel. Masing-masing kelaparan, nak keluar hotel pun malas dan penat tambahan pula sangat bahaya andai mereka yang kejar kami sebentar tadi cam muka kami yang membaling batu dan botol kat arah mereka tadi khuatir perkara buruk akan menimpa, mana tahu bukan? Kami sekadar memesan perkhidmatan Mc Donalds delivery sahaja. Kami selamat pulang ke Malaysia keesokan harinya. Pengalaman menjejakkan kaki ke Stadium GBK, satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan apatah lagi Malaysia berjaya memenangi pingat emas di depan mata kami sendiri. Walaupun hanyalah sekadar Juara di Rantau Asean tapi ia tetap memberikan makna besar buat kami semua dan seluruh rakyat Malaysia!


Selain itu banyak lagi perkara yang kami boleh belajar dari mereka bagaimana untuk memajukan pergerakkan ultras malaya kami. Aku ambil contoh Jakmania di Jakarta, mereka mempunyai kedai yang menjual segala jenis barangan tentang pasukan kelab mereka dan juga persatuan mereka di setiap wilayah di Jakarta, malah mereka ada beberapa kedai rasmi di pusat membeli-belah terkenal. Pengurusan mereka memang terbaik. Aku masih ingat lagi ada satu insiden pergaduhan selepas perlawanan separuh akhir sesama mereka, selepas mereka menang ke atas Myammar berhampiran Plaza Senayan. Bunyi ambulan dari jauh kedengaran rupanya yang datang ialah van ambulan Jakmania aku ingatkan dari Hospital swasta mana tah. Lihat,  mereka siap ada perkhidmatan ambulan mereka sendiri. Mereka juga mempunyai pengawal-pengawal mereka sendiri yang bertindak seperti Polis yang mengawal situasi tegang andai tercetus huru hara di dalam dan luar stadium. 


Untuk next trip, kalau ada rezeki bertemu lagi dalam Piala AFF tahun ini di Jakarta, Ultras Malaya merancang nak nak bawa komrad yang lebih besar sekitar 100 orang. Ada berani??? Ikuti bahagian seterusnya, kami menerima tetamu yang berkunjung ke Malaysia bulan lepas, Sang Dirigen terkenal dari Arema Malang, Yuli Sumpil bersama pengarah filem Romeo Juliet Indonesia, Andi Bachtiar Yusof. Kami diberitahu bahawa rupa-rupanya, mereka yang ke GBK tempoh hari ni bukan penyokong tegar dan ultras Indonesia yang kebiasaannya. Kebanyakannya daripada mereka memboikot gara-gara kebencian terhadap pengurusan PSSI termasuklah dari pihak Jakmania dan juga Aremania. Bayangkan kalau penyokong tegar Indonesia dan ultras mereka yang turun tempoh hari? pasti lebih dasyat bukan?


- ARIF -

ULTRAS MALAYA KE GELORA BUNG KARNO (BAHAGIAN KEDUA)


BAHAGIAN KEDUA
Bahagian kedua pula menceritakan bagaimana kami berusaha sedaya upaya mencari penginapan lain dan juga berusaha keras untuk mendapatkan tiket perlawanan akhir.


Maaf agak lama mengambil masa untuk menyambung bahagian kedua. Kesibukan dengan urusan kerja harian. Seperti yang dijangka oleh ramai pihak, Indonesia berjaya melangkah ke perlawanan akhir dengan bergaya menumbangkan finalist edisi yang lalu Vietnam 2-0. Benarlah telahan rakyat Indonesia bahawa mereka akan membuat perhitungan sekali lagi di pentas akhir dengan Malaysia. Sejak hari pertama lagi setibanya kami di Jakarta rata-rata rakyat Indonesia tidak begitu teruja dengan saingan separuh akhir bertemu dengan Vietnam berbanding perlawan terakhir peringkat kumpulan yang menemukan Garuda Muda denganHarimau Muda. Rata-ratanya lebih cenderung bercerita tentang perlawanan akhir kelak. Bagaimanakah mahu menumpaskan Malaysia? Taktikal apa perlu digunakan? Siapakah yang mampu menjaringkan gol? dan sebagainya. Keyakinan dan kepercayaan yang begitu tinggi sekali ditunjukkan terhadap timnas mereka. Tambahan pula dengan kehangatan media massa di Indonesia yang mempermainkan isu bahawa Indonesia akan bangkit dan membalas dendam di pentas akhir menambahkan lagi keyakinan rakyatnya. Media massa mereka merupakan tunjang utama dalam membangkitkan semangat patriotisme dan fanaticsm rakyatnya.


Sebelum tamat perlawanan Indonesia-Vietnam lagi kami sudah keluar “stadion” istilah tempatan untuk stadium di sini, supaya tidak tersangkut dengan “macet” istilah kesesakan jalan raya yang sentiasa menghantui penduduk Ibu Kota Jakarta. Kami mahu segera keluar dari kawasan panas Gelora Bung Karno sememangnya sentiasa bergelora dengan aura penyokong fanatik Indonesia. Tanpa melengahkan masa, kami terus menuju ke Plaza Senayan dan juga Senayan City Mall. Kiranya wilayah Senayan ini kawasanelite kalau kat Malaysia ni macam kat Bangsar atau Damansara lah. Kami ke sana untuk ke kedai money changer dan juga mengalas perut. Kalau di sini, tidaklah kami macam orang bisu tak bercakap macam kat area Kompleks Sukan Senayan tadi, memandangkan sini kawasan elite, maka bebaslah kami nak bercakap sesuka hati dengan lantang tanpa berselindung ketika di stadium tadi walaupun di sini begitu ramai sekali rakyatnya berjersi Merah Garuda di sana sini, kiranya golongan elite di Indonesia pun  tetap ambil peduli perihal pasukan kebangsaan dan juga mencintai bola sepak.


Ketika sedang menunggu teksi untuk pulang ke Hotel, jalan raya mulai sesak dan dipenuhi oleh penyokong berbaju merah kerana Stadium GBK dengan Plaza Senayan ni jauhnya hanyalah 1km sahaja. Pesta meraikan kemenangan ke pentas akhir telah bermula, penyokong-penyokong mula membanjiri jalan-jalan utama umpama telah dinobatkan juara bola sepak. Mereka berpesta di jalan-jalan utama dengan membunyikan hon, memanjat bumbung bas, van, lori dan kereta masing-masing satu fenomena yang menarik untuk disaksikan. Tempat kami menunggu teksi mula dipenuhi penyokong-penyokong Indonesia, mode "orang bisu" kembali diaktifkan kerana khuatir akan ada yang mencari kelibat kami di sekitar Senayan Mall sebab saya baru sahaja tweet lokasi terkini kami di twitter ultrasmalaya07 dan ramai pula penyokong Indonesia yang responseterhadap tweet saya. Ketika perjalanan pulang ke Hotel sekitar pukul 1 pagi, kaunter-kaunter tiket sudah mula dipenuhi dan mereka beratur panjang walaupun perlawanan baru sahaja tamat. Gila memang gila, terfikir pula macam manalah kami mahu dapatkan tiket pula esok? Tak kanlah nak berkampung depan kaunter macam mereka juga?


Bergambar di hadapan Hotel Sultan bersama lagi
seorang penyokong Malaysia 
20 NOVEMBER 2011, AHAD

Ada punya baki sehari lagi menjelang perlawanan akhir esoknya, tiada lagi bilik biasa di hotel ini, yang tinggal hanyalah suite yang lebih mahal dan harga meningkat 3 kali ganda daripada semalam. Elok kami semua cari bilik yang sedarhana sekurang-kurangnya dapat berkongsi 2-3 orang sebilik. Tak mampu lagi kami nak tinggal di Hotel mewah ni, harga sememangnya mahal berkali ganda ekoran penganjuran temasya dwi tahunan ini. Tanpa berfikir panjang kami mengambil keputusan untuk mencari hotel yang lebih murah dan sasaran kami ialah budget hotel yang banyak di sekitar Jalan Jaksa, di pinggir Kota Jakarta. Perbelanjaan lain perlu diambil kira, sebab andai kami gagal mencari tiket, terpaksalah kami membeli dari ulat tiket yang pastinya harga tiket melambung RM200-500. Lagipun kami diberitahu harga sebenar tiket final melambung sekali ganda apabila pihak penganjur telah menaikkan harga sehari selepas Indonesia layak ke Akhir. Dua jam lebih kami mencari dari hotel ke hotel di Jalan Jaksa kami bertanyakan bilik kosong masih gagal dan seakan putus asa untuk mencari lagi. Salah kami juga sebab tidak book awal-awal sebelum berangkat ke Indonesia. Di kawasan Jalan Jaksa juga dipenuhi laskar garuda, beberapa kali kami disapa oleh mereka, mereka bertanya kepada kami adakah kami ini penyokong dari Malaysia dan mahu menonton Bola di GBK esok? Kami balas, kami adalah pelancong biasa yang ingin berjalan-jalan di sekitar Indonesia. Sempat kami lalui kedai rasmi Jakmania, jangan main-main Ultras mereka siap ada kedai rasmi lagi tu, kelihatan ramai pemudanya berbaju oren sana sini di sekitar kedai itu. Apabila kami masih gagal mencari bilik kosong di kawasan ini kami mula mencari di kawasan lain. 



Kehadiran penyokong Indonesia yang ramai sekali di Jalan Jaksa pastinya datang dari luar kawasan Kota Jakarta mahupun dari luar Kepulauan Jawa. Maklumlah penyokong Indonesia datangnya dari seluruh Kepulauan Indonesia dari Sumatera, Kalimantan, Sulawesi, Maluku dan sebagainya, bahkan ada di antara mereka yang memerlukan perjalanan berhari-hari menaiki feri, kapal dan keretapi untuk sampai ke Pulau Jawa. Lagipun, kesilapan saya sendiri apabila, tweet status di twitter ultrasmalaya07 yang kami akan ke Jalan Jaksa malam sebelumnya, kesudahannya begitu ramai sekali penyokong Indonesia yang response tweet dan memberitahu bahawa mereka akan sambut kami di sana. Gara-gara pertembungan Indonesia-Malaysia ni, tiba-tiba follower twiter “ultrasmalaya07” meningkat dengan mendadak dan kebanyakannya follower dari seberang. Kata-kata mereka bahawanya akan sambut kami itu, sukar diertikan samada berniat baik atau sebaliknya? Pastinya memang ada yang benar-benar ikhlas dan jujur mahu membantu kami dan pastinya ada juga sebaliknya. Oleh demikian, langkah mudah, batalkan niat untuk menginap di Jalan Jaksa demi keselamatan kami semua.



Masih tidak berputusa asa, ke sana ke mari menghusung beg berat cari bilik yang kosong, tapi kecewa hampir semua fully booked. Cari punya cari tak jumpa-jumpa juga. Kalau tiada bilik kosong juga terpaksalah kami sepuluh orang (Lagi seorang ketika ini telah menghilangkan diri sehinggalah hari terakhir kami berjumpa dengan beliau di airport) berpatah balik ke hotel Sultan dan terpaksa jugalah membayar harga bilik suite andai tiada. Dalam perjalanan pulang ke Hotel Sultan, Teksi yang kami naiki melalui depan Hotel Mulia Senayan yang betul-betul bertentangan dengan GBK sejauh 100 meter sahaja. Kami mencuba nasib mana tahu ada bilik yang kosong ke? memang mengejutkan kami masih tinggal 2 buah bilik kosong, walaupun sebenarnya masa mula-mula nak cari penginapan tadi kamiada juga call receptionist nya tetapi dikatakan kesemua bilik telah penuh ditempah, mungkin sudah rezeki kami. Harganya sekitar 850 000 rupiah semalam lebih kurang RM 250+ semalam. So dibahagikan 5 orang untuk sebilik sekitar RM50 seorang, oklah tu tidaklah terlalu mahal bagi kami lagipun biliknya sangat luas, hanya tinggal 10 orang dari kami, lagi seorang gagal dikesan hilang ke mana sejak kami meninggalkan Hotel Sultan. Dapat sahaja bilik, terus letak beg bersiap sedia dan bergegas ke GBK semula mencari tiket balik dan pada masa itulah, kami nampak kaunter tiket telah dibakar oleh penyokong-penyokong fanatik yang bengang kerana gagal mendapatkan tiket walaupun mereka telah beratur panjang bahkam ada yang bermalam di situ. Kami diberitahu tiket untuk final esok harinya telah habis dijual, walaupun hanya dibuka beberapa jam. Tanggapan kami, ini pastinya angkara orang dalam yang menghulurkan tiket kepada ulat-ulat tiket. Masakan 100 000 tiket habis dijual tak sampai 2-3 jam? Alamak! Datang jauh-jauh dari Kuala Lumpur ke Jakarta tak kan nak tengok live kat TV hotel?

Lepas sahaja kaunter tiket tutup, tak sampai beberapa minit ulat-ulat tiket cepat berkeliaran, bilangannya tak usah cakaplah jauh lebih banyak berbanding di Bukit Jalil, dijual pula secara terang-terangan macam tiada larangan atau pemantauan dari pihak berwajib. Menurut supir teksi yang kami naiki, ulat tiket ini merupakan perkara biasa di Indonesia jikalau melibatkan game panas kelab-kelab tempatan macam Persija Jakarta vs Persib Bandung, Persija Jakarta vs Persitara Jakarta mahupun Persija Jakarta vs Persebaya apatah lagi rival sampai mati seperti Indonesia vs Malaysia. Walau dijual mahal sekalipun pasti akan ada yang membelinya. Kami bergegas ke Hotel Sultan, tempat menginapnya pemain bola sepak kebangsaan dan atlet kebangsaan yang lain. Itulah terfikir juga, andai Ultras Malaya ni ada hubungan baik dengan FAM pastinya soal tiket tidak menjadi masalah buat kami. Lagipun kami diberitahu penyokong-penyokong Malaysia ada yang akan bertolak dari KLIA Ahad malam ni, dan sebilangan lagi akan bertolak Isnin pagi dan kesemuanya telah pun mempunyai tiket kenapa kami yang di Indonesia masih lagi gagal untuk mendapatkan tiket final? Sedangkan Stadium GBK sekangkang kera dari tempat penginapan kami. Kalaulah kami sentiasa memuja-muja FAM sepanjang masa pasti tak perlu bersusah payah sebegini bukan.


Seperti perlawanan separuh akhir semalam, pantang nampak pemain dan pegawai Malaysia mahupun orang berpakaian seperti kontinjen Malaysia terus kami serbu bertanyakan hal tiket. Kesian pemain-pemain kebangsaan sampai dah naik bosan kena tanya soalan tiket dari kami sampaikan ada yang mengelak kalau terserempak dengan kami di hotel, lagipun kami bukannya nak tiket percuma kami hanya mahukan kuota tiket untuk dibeli. Seharian menghabiskan masa di Hotel Sultan sampai ke malam, masih gagal untuk mendapatkan tiket yang diharapkan. Kami pulang dengan kehampaan ke tempat penginapan kami.

21 NOVEMBER, ISNIN

Harapan untuk menonton perlawanan akhir di Stadium GBK seakan-akan samar-samar sahaja kerana kami masih lagi gagal untuk mendapatkan tiket. Kami dah putus asa nak ke hulur ke hilir nak cari tiket, dari buat muka tembok asyik bertanyakan hal tiket baik lepak bilik tengok berehat sambil tengok TV. Lagipun dah plan, andai gagal kami terpaksalah tengok big screen yang bersepah di perkarangan GBK bersama-sama penyokong Indonesia dapatlah juga merasa atmosphere final di GBK malam nanti.


Pihak berkuasa Indonesia telah mengerahkan lebih 10 000 anggota polis, pengawal tambahan dan juga tentera republik itu ke GBK untuk mengawal keadaan. Pelbagai unit dikerah termasuk sepasukan tentera yang dipertanggungjawab khas untuk menjaga dan mempermudahkan perjalanan konvoi pemain dan penyokong Malaysia masuk ke dalam Stadium GBK. Anda boleh lihat sendiri gambar-gambar dibawah.


Ribuan Polis dikerah ke GBK untuk mengawal keadaan

Unit Polis Anjing Pengesan

Polis Tambahan

Polis dengan Senapang khas, Unit Penembak Khas agaknya

Unit Pencegeah Rusuhan seperti FRU di Malaysia

Tentera juga dikerah mengawal keadaan


Pelbagai unit Tentera dikerah ke GBK juga

Pagi itu, setelah puas meronda-ronda sekitar GBK mencari tiket sempatlah jugalah saya membaca surat khabar tempatan di lobby hotel. Rata-ratanya menerbitkan berita pasal perlawanan akhir Indonesia-Malaysia bermuka-muka surat, liputan meluas diberikan media massa tempatan terhadap sukan bola sepak, sungguh berbeza dengan media massa di Malaysia. Naik ke bilik buka TV pun sama. Publisiti yang diberikan media massa sana begitu ekstrim terhadap pasukan Garuda Muda. Bayangkan bila saya tukar channel lain yang rancangannya berkonsepkan hiburan seperti program Melody terbitan TV3 juga berkisar tentang bola sepak, saya tukar channel lain rancangan masakan pula, Chefnya tengah menyarung Jersi Merah Indonesia sambil memasak, tukar ke channel lain pula, rancangan live menunjukkan konsert rock band tempatan barangkaliUrban Fest 2012? juga tak lari dari topik bola sepak, pendek kata semuanya pasal bola sepak.


Ada sesetengah media massa pula, bangkitkan semangat patriotik rakyat Indonesia dengan mainkan lagu-lagu semangat, lagu-lagu khas yang dinyanyikan artis popular sana untuk pasukan bola sepak mereka baik di Radio dan juga TV. Ada juga yang menyelitkan sedikit isu sentimen panas yang sentiasa mencetuskan ketengan hubungan diplomatik kedua-dua negara macam “Ganyang Malaysia”, “Batik”, “Isu Amah”,dan isu-isu lain dalam penerbitan mereka. Menurut rakan kami yang juga bekerja dengan Berita Harian, sentimen di media massa Indonesia kali ini tidaklah sehangat ketika Piala AFF 2010 dahulu. Hal-hal sedemikian sememangnya begitu mempengaruhi semangat patriotik warga Indonesia dan secara tidak langsung menaikkan sikap tidak puas hati terhadap Malaysia yang meluap-luap. Menurut rakan kami di sini (Jakmania), bola sepak di Indonesia ibarat suatu agama dimana penyokongnya sanggup memperjuangkan pasukan kebanggaan mereka walaupun terpaksa berkorban nyawa.


Bagaimana peranan media massa Indonesia membangkitkan sentimen
patriotik  dan mengapi-apikan perasaan rakyatnya credit to Zul Deanz
Waktu sudah menunjukkan pukul 2pm, perlawanan lagi 5 jam sebelum sepak mula. Dari luar tingkap, sudah kelihatan ratusan ribu penyokong membanjiran kawasan sekitar senayan, dari tingkap hotel kami boleh lihat laskar garuda berada di mana sahaja. Tiket masih belum dapat lagi, tiba-tiba sahaja kami dapat panggilan dari seseorang, menyuruh kami ke Hotel Sultan dengan kadar segera kalau mahukan tiket. Panggilan dari salah seorang pekerja hotel tersebut yang kami minta bantuan semalam untuk dapatkan tiket. Mungkin dari pasaran gelap mahupun ulat tiket. Terus bergegas naik teksi ke Hotel Sultan yang hanya sejauh 2km dari tempat kami menginap, tiba-tiba rasa menyesal pula naik teksi kerana keluar sahaja dari simpang hotel terus sangkut kerana “macet”. Jalan raya penuh sesak dipenuhi puluhan ribu tentera berbaju merah. Kami ambil masa hampir 45 minit untuk perjalanan yang hanya sejauh 2km. Rasanya kalau jalan kaki, 10-15 minit pun dah sampai.


Harga tiket final yang baru selepas dinaikkan harga :-

VVIP = Rp 1 Juta (RM 350)
Grandstand Barat = Rp 750 Ribu (RM 260)
Grandstand Timur = Rp 500 Ribu (RM175)
Kategori 1 = Rp 200 Ribu (RM 70)
Kategori 2 = Rp 100 Ribu (RM35)
 

Kategori I & II merupakan 60% dari keseluruhan tiket yang ditawarkan, mahal bukan tiket biasa bagi menyaksikan perlawanan bola sepak di sini? Kalau Tiket grandstand di Bukit Jalil hanyalah berharga RM50, serupa harga tiket kategori biasa di Indonesia. Tidak hairanlah tiket di sini dijual begitu mahal, kerana walau mahal sekalipun kaunter mereka yang dibuka selama 2-3 jam pasti akan habis dijual. Kami berjaya mendapatkan tiket kategori 1 = Rp 200 ribu bersamaan dengan RM70 tetapi kami terpaksa membayar sebanyak Rp 500 untuk sekeping tiket tersebut. Menurut staff hotel itu, dia berjaya dapatkan tiket kami dari ulat tiket (pasaran gelap), kami sudah tidak ambil pusing lagi bagaimana mereka dapatkan tiket kami, yang penting tiket akhir sudah berjaya kami dapatkan.


PS:- Tamat Bahagian Kedua. Bahagian ketiga pula menceritakan bagaimana kami bernasib baik dapat menyertai konvoi bas pemain bersama-sama penyokong Malaysia (Famemas dan Pelajar Malaysia di Jakarta) yang lain dan merasai sendiri pengalaman bas dikepung dan dihalang dari memasuki stadium ratusan ribu penyokong di luar stadium.




-ARIF-