Wednesday, 23 January 2013

ULTRAS MALAYA KE GELORA BUNG KARNO (BAHAGIAN KEDUA)


BAHAGIAN KEDUA
Bahagian kedua pula menceritakan bagaimana kami berusaha sedaya upaya mencari penginapan lain dan juga berusaha keras untuk mendapatkan tiket perlawanan akhir.


Maaf agak lama mengambil masa untuk menyambung bahagian kedua. Kesibukan dengan urusan kerja harian. Seperti yang dijangka oleh ramai pihak, Indonesia berjaya melangkah ke perlawanan akhir dengan bergaya menumbangkan finalist edisi yang lalu Vietnam 2-0. Benarlah telahan rakyat Indonesia bahawa mereka akan membuat perhitungan sekali lagi di pentas akhir dengan Malaysia. Sejak hari pertama lagi setibanya kami di Jakarta rata-rata rakyat Indonesia tidak begitu teruja dengan saingan separuh akhir bertemu dengan Vietnam berbanding perlawan terakhir peringkat kumpulan yang menemukan Garuda Muda denganHarimau Muda. Rata-ratanya lebih cenderung bercerita tentang perlawanan akhir kelak. Bagaimanakah mahu menumpaskan Malaysia? Taktikal apa perlu digunakan? Siapakah yang mampu menjaringkan gol? dan sebagainya. Keyakinan dan kepercayaan yang begitu tinggi sekali ditunjukkan terhadap timnas mereka. Tambahan pula dengan kehangatan media massa di Indonesia yang mempermainkan isu bahawa Indonesia akan bangkit dan membalas dendam di pentas akhir menambahkan lagi keyakinan rakyatnya. Media massa mereka merupakan tunjang utama dalam membangkitkan semangat patriotisme dan fanaticsm rakyatnya.


Sebelum tamat perlawanan Indonesia-Vietnam lagi kami sudah keluar “stadion” istilah tempatan untuk stadium di sini, supaya tidak tersangkut dengan “macet” istilah kesesakan jalan raya yang sentiasa menghantui penduduk Ibu Kota Jakarta. Kami mahu segera keluar dari kawasan panas Gelora Bung Karno sememangnya sentiasa bergelora dengan aura penyokong fanatik Indonesia. Tanpa melengahkan masa, kami terus menuju ke Plaza Senayan dan juga Senayan City Mall. Kiranya wilayah Senayan ini kawasanelite kalau kat Malaysia ni macam kat Bangsar atau Damansara lah. Kami ke sana untuk ke kedai money changer dan juga mengalas perut. Kalau di sini, tidaklah kami macam orang bisu tak bercakap macam kat area Kompleks Sukan Senayan tadi, memandangkan sini kawasan elite, maka bebaslah kami nak bercakap sesuka hati dengan lantang tanpa berselindung ketika di stadium tadi walaupun di sini begitu ramai sekali rakyatnya berjersi Merah Garuda di sana sini, kiranya golongan elite di Indonesia pun  tetap ambil peduli perihal pasukan kebangsaan dan juga mencintai bola sepak.


Ketika sedang menunggu teksi untuk pulang ke Hotel, jalan raya mulai sesak dan dipenuhi oleh penyokong berbaju merah kerana Stadium GBK dengan Plaza Senayan ni jauhnya hanyalah 1km sahaja. Pesta meraikan kemenangan ke pentas akhir telah bermula, penyokong-penyokong mula membanjiri jalan-jalan utama umpama telah dinobatkan juara bola sepak. Mereka berpesta di jalan-jalan utama dengan membunyikan hon, memanjat bumbung bas, van, lori dan kereta masing-masing satu fenomena yang menarik untuk disaksikan. Tempat kami menunggu teksi mula dipenuhi penyokong-penyokong Indonesia, mode "orang bisu" kembali diaktifkan kerana khuatir akan ada yang mencari kelibat kami di sekitar Senayan Mall sebab saya baru sahaja tweet lokasi terkini kami di twitter ultrasmalaya07 dan ramai pula penyokong Indonesia yang responseterhadap tweet saya. Ketika perjalanan pulang ke Hotel sekitar pukul 1 pagi, kaunter-kaunter tiket sudah mula dipenuhi dan mereka beratur panjang walaupun perlawanan baru sahaja tamat. Gila memang gila, terfikir pula macam manalah kami mahu dapatkan tiket pula esok? Tak kanlah nak berkampung depan kaunter macam mereka juga?


Bergambar di hadapan Hotel Sultan bersama lagi
seorang penyokong Malaysia 
20 NOVEMBER 2011, AHAD

Ada punya baki sehari lagi menjelang perlawanan akhir esoknya, tiada lagi bilik biasa di hotel ini, yang tinggal hanyalah suite yang lebih mahal dan harga meningkat 3 kali ganda daripada semalam. Elok kami semua cari bilik yang sedarhana sekurang-kurangnya dapat berkongsi 2-3 orang sebilik. Tak mampu lagi kami nak tinggal di Hotel mewah ni, harga sememangnya mahal berkali ganda ekoran penganjuran temasya dwi tahunan ini. Tanpa berfikir panjang kami mengambil keputusan untuk mencari hotel yang lebih murah dan sasaran kami ialah budget hotel yang banyak di sekitar Jalan Jaksa, di pinggir Kota Jakarta. Perbelanjaan lain perlu diambil kira, sebab andai kami gagal mencari tiket, terpaksalah kami membeli dari ulat tiket yang pastinya harga tiket melambung RM200-500. Lagipun kami diberitahu harga sebenar tiket final melambung sekali ganda apabila pihak penganjur telah menaikkan harga sehari selepas Indonesia layak ke Akhir. Dua jam lebih kami mencari dari hotel ke hotel di Jalan Jaksa kami bertanyakan bilik kosong masih gagal dan seakan putus asa untuk mencari lagi. Salah kami juga sebab tidak book awal-awal sebelum berangkat ke Indonesia. Di kawasan Jalan Jaksa juga dipenuhi laskar garuda, beberapa kali kami disapa oleh mereka, mereka bertanya kepada kami adakah kami ini penyokong dari Malaysia dan mahu menonton Bola di GBK esok? Kami balas, kami adalah pelancong biasa yang ingin berjalan-jalan di sekitar Indonesia. Sempat kami lalui kedai rasmi Jakmania, jangan main-main Ultras mereka siap ada kedai rasmi lagi tu, kelihatan ramai pemudanya berbaju oren sana sini di sekitar kedai itu. Apabila kami masih gagal mencari bilik kosong di kawasan ini kami mula mencari di kawasan lain. 



Kehadiran penyokong Indonesia yang ramai sekali di Jalan Jaksa pastinya datang dari luar kawasan Kota Jakarta mahupun dari luar Kepulauan Jawa. Maklumlah penyokong Indonesia datangnya dari seluruh Kepulauan Indonesia dari Sumatera, Kalimantan, Sulawesi, Maluku dan sebagainya, bahkan ada di antara mereka yang memerlukan perjalanan berhari-hari menaiki feri, kapal dan keretapi untuk sampai ke Pulau Jawa. Lagipun, kesilapan saya sendiri apabila, tweet status di twitter ultrasmalaya07 yang kami akan ke Jalan Jaksa malam sebelumnya, kesudahannya begitu ramai sekali penyokong Indonesia yang response tweet dan memberitahu bahawa mereka akan sambut kami di sana. Gara-gara pertembungan Indonesia-Malaysia ni, tiba-tiba follower twiter “ultrasmalaya07” meningkat dengan mendadak dan kebanyakannya follower dari seberang. Kata-kata mereka bahawanya akan sambut kami itu, sukar diertikan samada berniat baik atau sebaliknya? Pastinya memang ada yang benar-benar ikhlas dan jujur mahu membantu kami dan pastinya ada juga sebaliknya. Oleh demikian, langkah mudah, batalkan niat untuk menginap di Jalan Jaksa demi keselamatan kami semua.



Masih tidak berputusa asa, ke sana ke mari menghusung beg berat cari bilik yang kosong, tapi kecewa hampir semua fully booked. Cari punya cari tak jumpa-jumpa juga. Kalau tiada bilik kosong juga terpaksalah kami sepuluh orang (Lagi seorang ketika ini telah menghilangkan diri sehinggalah hari terakhir kami berjumpa dengan beliau di airport) berpatah balik ke hotel Sultan dan terpaksa jugalah membayar harga bilik suite andai tiada. Dalam perjalanan pulang ke Hotel Sultan, Teksi yang kami naiki melalui depan Hotel Mulia Senayan yang betul-betul bertentangan dengan GBK sejauh 100 meter sahaja. Kami mencuba nasib mana tahu ada bilik yang kosong ke? memang mengejutkan kami masih tinggal 2 buah bilik kosong, walaupun sebenarnya masa mula-mula nak cari penginapan tadi kamiada juga call receptionist nya tetapi dikatakan kesemua bilik telah penuh ditempah, mungkin sudah rezeki kami. Harganya sekitar 850 000 rupiah semalam lebih kurang RM 250+ semalam. So dibahagikan 5 orang untuk sebilik sekitar RM50 seorang, oklah tu tidaklah terlalu mahal bagi kami lagipun biliknya sangat luas, hanya tinggal 10 orang dari kami, lagi seorang gagal dikesan hilang ke mana sejak kami meninggalkan Hotel Sultan. Dapat sahaja bilik, terus letak beg bersiap sedia dan bergegas ke GBK semula mencari tiket balik dan pada masa itulah, kami nampak kaunter tiket telah dibakar oleh penyokong-penyokong fanatik yang bengang kerana gagal mendapatkan tiket walaupun mereka telah beratur panjang bahkam ada yang bermalam di situ. Kami diberitahu tiket untuk final esok harinya telah habis dijual, walaupun hanya dibuka beberapa jam. Tanggapan kami, ini pastinya angkara orang dalam yang menghulurkan tiket kepada ulat-ulat tiket. Masakan 100 000 tiket habis dijual tak sampai 2-3 jam? Alamak! Datang jauh-jauh dari Kuala Lumpur ke Jakarta tak kan nak tengok live kat TV hotel?

Lepas sahaja kaunter tiket tutup, tak sampai beberapa minit ulat-ulat tiket cepat berkeliaran, bilangannya tak usah cakaplah jauh lebih banyak berbanding di Bukit Jalil, dijual pula secara terang-terangan macam tiada larangan atau pemantauan dari pihak berwajib. Menurut supir teksi yang kami naiki, ulat tiket ini merupakan perkara biasa di Indonesia jikalau melibatkan game panas kelab-kelab tempatan macam Persija Jakarta vs Persib Bandung, Persija Jakarta vs Persitara Jakarta mahupun Persija Jakarta vs Persebaya apatah lagi rival sampai mati seperti Indonesia vs Malaysia. Walau dijual mahal sekalipun pasti akan ada yang membelinya. Kami bergegas ke Hotel Sultan, tempat menginapnya pemain bola sepak kebangsaan dan atlet kebangsaan yang lain. Itulah terfikir juga, andai Ultras Malaya ni ada hubungan baik dengan FAM pastinya soal tiket tidak menjadi masalah buat kami. Lagipun kami diberitahu penyokong-penyokong Malaysia ada yang akan bertolak dari KLIA Ahad malam ni, dan sebilangan lagi akan bertolak Isnin pagi dan kesemuanya telah pun mempunyai tiket kenapa kami yang di Indonesia masih lagi gagal untuk mendapatkan tiket final? Sedangkan Stadium GBK sekangkang kera dari tempat penginapan kami. Kalaulah kami sentiasa memuja-muja FAM sepanjang masa pasti tak perlu bersusah payah sebegini bukan.


Seperti perlawanan separuh akhir semalam, pantang nampak pemain dan pegawai Malaysia mahupun orang berpakaian seperti kontinjen Malaysia terus kami serbu bertanyakan hal tiket. Kesian pemain-pemain kebangsaan sampai dah naik bosan kena tanya soalan tiket dari kami sampaikan ada yang mengelak kalau terserempak dengan kami di hotel, lagipun kami bukannya nak tiket percuma kami hanya mahukan kuota tiket untuk dibeli. Seharian menghabiskan masa di Hotel Sultan sampai ke malam, masih gagal untuk mendapatkan tiket yang diharapkan. Kami pulang dengan kehampaan ke tempat penginapan kami.

21 NOVEMBER, ISNIN

Harapan untuk menonton perlawanan akhir di Stadium GBK seakan-akan samar-samar sahaja kerana kami masih lagi gagal untuk mendapatkan tiket. Kami dah putus asa nak ke hulur ke hilir nak cari tiket, dari buat muka tembok asyik bertanyakan hal tiket baik lepak bilik tengok berehat sambil tengok TV. Lagipun dah plan, andai gagal kami terpaksalah tengok big screen yang bersepah di perkarangan GBK bersama-sama penyokong Indonesia dapatlah juga merasa atmosphere final di GBK malam nanti.


Pihak berkuasa Indonesia telah mengerahkan lebih 10 000 anggota polis, pengawal tambahan dan juga tentera republik itu ke GBK untuk mengawal keadaan. Pelbagai unit dikerah termasuk sepasukan tentera yang dipertanggungjawab khas untuk menjaga dan mempermudahkan perjalanan konvoi pemain dan penyokong Malaysia masuk ke dalam Stadium GBK. Anda boleh lihat sendiri gambar-gambar dibawah.


Ribuan Polis dikerah ke GBK untuk mengawal keadaan

Unit Polis Anjing Pengesan

Polis Tambahan

Polis dengan Senapang khas, Unit Penembak Khas agaknya

Unit Pencegeah Rusuhan seperti FRU di Malaysia

Tentera juga dikerah mengawal keadaan


Pelbagai unit Tentera dikerah ke GBK juga

Pagi itu, setelah puas meronda-ronda sekitar GBK mencari tiket sempatlah jugalah saya membaca surat khabar tempatan di lobby hotel. Rata-ratanya menerbitkan berita pasal perlawanan akhir Indonesia-Malaysia bermuka-muka surat, liputan meluas diberikan media massa tempatan terhadap sukan bola sepak, sungguh berbeza dengan media massa di Malaysia. Naik ke bilik buka TV pun sama. Publisiti yang diberikan media massa sana begitu ekstrim terhadap pasukan Garuda Muda. Bayangkan bila saya tukar channel lain yang rancangannya berkonsepkan hiburan seperti program Melody terbitan TV3 juga berkisar tentang bola sepak, saya tukar channel lain rancangan masakan pula, Chefnya tengah menyarung Jersi Merah Indonesia sambil memasak, tukar ke channel lain pula, rancangan live menunjukkan konsert rock band tempatan barangkaliUrban Fest 2012? juga tak lari dari topik bola sepak, pendek kata semuanya pasal bola sepak.


Ada sesetengah media massa pula, bangkitkan semangat patriotik rakyat Indonesia dengan mainkan lagu-lagu semangat, lagu-lagu khas yang dinyanyikan artis popular sana untuk pasukan bola sepak mereka baik di Radio dan juga TV. Ada juga yang menyelitkan sedikit isu sentimen panas yang sentiasa mencetuskan ketengan hubungan diplomatik kedua-dua negara macam “Ganyang Malaysia”, “Batik”, “Isu Amah”,dan isu-isu lain dalam penerbitan mereka. Menurut rakan kami yang juga bekerja dengan Berita Harian, sentimen di media massa Indonesia kali ini tidaklah sehangat ketika Piala AFF 2010 dahulu. Hal-hal sedemikian sememangnya begitu mempengaruhi semangat patriotik warga Indonesia dan secara tidak langsung menaikkan sikap tidak puas hati terhadap Malaysia yang meluap-luap. Menurut rakan kami di sini (Jakmania), bola sepak di Indonesia ibarat suatu agama dimana penyokongnya sanggup memperjuangkan pasukan kebanggaan mereka walaupun terpaksa berkorban nyawa.


Bagaimana peranan media massa Indonesia membangkitkan sentimen
patriotik  dan mengapi-apikan perasaan rakyatnya credit to Zul Deanz
Waktu sudah menunjukkan pukul 2pm, perlawanan lagi 5 jam sebelum sepak mula. Dari luar tingkap, sudah kelihatan ratusan ribu penyokong membanjiran kawasan sekitar senayan, dari tingkap hotel kami boleh lihat laskar garuda berada di mana sahaja. Tiket masih belum dapat lagi, tiba-tiba sahaja kami dapat panggilan dari seseorang, menyuruh kami ke Hotel Sultan dengan kadar segera kalau mahukan tiket. Panggilan dari salah seorang pekerja hotel tersebut yang kami minta bantuan semalam untuk dapatkan tiket. Mungkin dari pasaran gelap mahupun ulat tiket. Terus bergegas naik teksi ke Hotel Sultan yang hanya sejauh 2km dari tempat kami menginap, tiba-tiba rasa menyesal pula naik teksi kerana keluar sahaja dari simpang hotel terus sangkut kerana “macet”. Jalan raya penuh sesak dipenuhi puluhan ribu tentera berbaju merah. Kami ambil masa hampir 45 minit untuk perjalanan yang hanya sejauh 2km. Rasanya kalau jalan kaki, 10-15 minit pun dah sampai.


Harga tiket final yang baru selepas dinaikkan harga :-

VVIP = Rp 1 Juta (RM 350)
Grandstand Barat = Rp 750 Ribu (RM 260)
Grandstand Timur = Rp 500 Ribu (RM175)
Kategori 1 = Rp 200 Ribu (RM 70)
Kategori 2 = Rp 100 Ribu (RM35)
 

Kategori I & II merupakan 60% dari keseluruhan tiket yang ditawarkan, mahal bukan tiket biasa bagi menyaksikan perlawanan bola sepak di sini? Kalau Tiket grandstand di Bukit Jalil hanyalah berharga RM50, serupa harga tiket kategori biasa di Indonesia. Tidak hairanlah tiket di sini dijual begitu mahal, kerana walau mahal sekalipun kaunter mereka yang dibuka selama 2-3 jam pasti akan habis dijual. Kami berjaya mendapatkan tiket kategori 1 = Rp 200 ribu bersamaan dengan RM70 tetapi kami terpaksa membayar sebanyak Rp 500 untuk sekeping tiket tersebut. Menurut staff hotel itu, dia berjaya dapatkan tiket kami dari ulat tiket (pasaran gelap), kami sudah tidak ambil pusing lagi bagaimana mereka dapatkan tiket kami, yang penting tiket akhir sudah berjaya kami dapatkan.


PS:- Tamat Bahagian Kedua. Bahagian ketiga pula menceritakan bagaimana kami bernasib baik dapat menyertai konvoi bas pemain bersama-sama penyokong Malaysia (Famemas dan Pelajar Malaysia di Jakarta) yang lain dan merasai sendiri pengalaman bas dikepung dan dihalang dari memasuki stadium ratusan ribu penyokong di luar stadium.




-ARIF- 

No comments:

Post a Comment